Friday, December 5, 2008

BERSEDEKAH KEPADA ANAK YATIM: TUNTUTAN AGAMA

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Ganjaran yang dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada
orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah
adalah amat besar. Sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh
tangkai dan kemudian tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi
seratus biji adalah perumpamaan perbelanjaan yang dikeluarkan
pada jalan Allah.
Bersedekah adalah salah satu daripada apa yang disebut sebagai
membelanjakan harta pada jalan Allah. Ini kerana tujuan seseorang
bersedekah itu adalah atas dasar mendekatkan diri kepada Allah
Subhanahu wa Ta‘ala.
Bersedekah sama ada dengan wang ringgit atau lainnya merupakan
amalan mulia yang memberi keuntungan kepada orang yang
mengeluarkannya dan orang yang menerimanya. Orang yang
bersedekah mendapat balasan pahala, sementara bagi orang yang
menerimanya pula dapat menggunakan sedekah tersebut bagi
memenuhi keperluan hidupnya.
Hukum Bersedekah
Hukum bersedekah itu sunat berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan
hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Di antaranya:
1. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan
pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (yang
ikhlas).”
(Surah al-Baqarah: 245)
Di dalam kitab al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an disebutkan, antara
maksud ayat di atas ialah galakan untuk bersedekah, menginfak
harta kepada orang-orang fakir dan orang-orang yang memerlukan.
2. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu berkemampuan untuk
berlindung daripada neraka (dengan melakukan sedekah)
walaupun hanya dengan separuh buah kurma, maka lakukanlah.”
(Hadis riwayat Muslim)
Sedekah sunat dilakukan pada bila-bila masa, namun yang lebih
afdhal dilakukan pada bulan Ramadhan dan juga sangat digalakkan
pada hari-hari mulia yang lain seperti 10 Zulhijah dan pada Hari
Raya Aidil Fitri dan Aidil Adhha. Begitu juga afdhal dilakukan
pada perkara-perkara yang diberi perhatian seperti gerhana, sakit
dan pelayaran.
Siapa Yang Afdhal Diberi Sedekah?
Sedekah afdhal diberikan kepada saudara terdekat walaupun
saudara terdekat itu merupakan orang yang wajib diberikannya
nafkah.
Perkara ini ada disebutkan di dalam sebuah hadis sebagaimana
perbualan Zainab Radhiallahu ‘anha dengan Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Wahai Nabi Allah, sesungguhnya hari ini engkau
memerintahkan untuk bersedekah. Aku mempunyai perhiasan
untuk diriku, maka aku ingin menyedekahkannya.” Ibnu Mas‘ud
berpendapat bahawa sesungguhnya dia (Ibnu Mas‘ud Radhiallahu
‘anhu) dan anaknyalah yang lebih berhak menerima sedekahku
itu. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Ibnu Mas‘ud benar, suamimu dan anakmu adalah lebih berhak
untuk engkau beri sedekah”.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Dalam sebuah hadis yang lain pula, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sedekah kepada orang miskin itu mendapat satu
pahala sedekah, dan sedekah kepada saudara mara itu mendapat
dua pahala iaitu pahala sedekah dan pahala menyambung
silaturrahim.”
(Hadis riwayat al-Hakim)
Begitu juga afdhal bersedekah kepada jiran berbanding orang lain.
Jika dia mempunyai dua orang jiran, adalah lebih afdhal
mendahulukan jiran yang lebih dekat dengan pintu rumahnya.

Sayyidatina ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha menceritakan:
Maksudnya: “Aku berkata kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya bagiku ada dua
orang jiran. Maka siapa antara keduanya ku berikan hadiah?”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kepada yang
lebih dekat pintu rumahnya daripada (pintu rumah) engkau.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Begitu juga bersedekah kepada orang-orang yang berbuat kebaikan
dan orang-orang yang memerlukan adalah lebih diutamakan.
Bersedekah Kepada Anak Yatim
Anak yatim ialah kanak-kanak yang tidak mempunyai bapa.
Mereka termasuk dalam golongan yang memerlukan kerana telah
kehilangan ketua keluarga yang sepatutnya menyara kehidupan
mereka. Maka bersedekah kepada mereka adalah sangat
diutamakan.
Islam sangat mengambil berat tentang hal ehwal anak-anak yatim.
Dari penjagaan mereka sehinggalah pada pengendalian harta
mereka jika mereka mempunyai harta, semuanya ada digariskan di
dalam al-Qur’an.
Kita diperintahkan untuk berlemah lembut dan berbuat baik kepada
mereka.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan
kaum kerabat, dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin.”
(Al-Baqarah: 83)
Ganjaran yang diberikan terhadap perlakuan baik kepada anak
yatim amat besar di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Begitu juga,
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengkhabarkan tentang
kedudukan mulia di syurga bagi orang yang menjaga anak yatim.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Penjaga anak yatim daripada kerabat atau bukan
kerabatnya, saya dan penjaga itu adalah seperti dua jari ini di
dalam syurga.” Malik (periwayat hadis) mengisyaratkan dengan
jari telunjuk dan jari hantu.”
(Hadis riwayat Muslim)
Menghulurkan sedekah kepada mereka adalah salah satu daripada
perlakuan baik yang dimaksudkan itu. Sedekah yang dihulurkan
berupa wang ringgit atau barang-barang keperluan, bukan sahaja
mengurangkan bebanan mereka, bahkan dapat menimbulkan
kebahagiaan di hati mereka.
Membantu anak yatim terutama mereka yang hidup susah dan
tidak mendapat penjaga yang sewajarnya inilah yang dimaksudkan
sebagai تعاون (bantu-membantu atau tolong menolong) yang
dituntut oleh Islam. Oleh yang demikian, usaha berbagai-bagai
pihak untuk mengumpulkan dana bagi anak-anak yatim bertepatan
dengan apa yang dianjurkan oleh Islam.
Hukum bersedekah kepada anak yatim adalah sunat. Namun lebih
afdhal jika sedekah itu dihulurkan kepada anak yatim dari
kalangan keluarga atau saudara mara terdekat jika ada.

FirmanAllah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: Apa dia
amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu?(12)(Di
antaranya bagi orang yang mampu) ialah memerdekakan hamba
sahaya;(13) atau memberi makan pada hari kelaparan-(14)
kepada anak yatim dari kaum kerabat.(15)”
(Surah al-Balad: 12-15)
Maksud ayat ke-15 dari surah al-Balad di atas adalah afdhal
bersedekah kepada anak yatim dari kalangan kerabat berbanding
yang bukan dari kalangan kerabat. Begitu juga afdhal bersedekah
kepada anak yatim yang tiada mempunyai penjaga berbanding
anak yatim yang mempunyai penjaga.
Bersedekah sama ada berupa wang atau lain-lain merupakan salah
satu wadah untuk membantu golongan yang kurang
berkemampuan. Pahala bagi orang yang bersedekah amat besar
walaupun sedekah yang dihulurkan hanya dengan nilai yang
sedikit. Ini kerana nilai yang sedikit juga menyumbang pada
kegembiraan yang dirasakan oleh si penerima.
Dalam suasana kita menyambut kedatangan Hari Raya ini, mari
kita gandakan sedekah kepada yang memerlukan terutama anak
yatim, agar semua kita dapat merasakan kegembiraan Hari Raya
Aidil Fitri itu bersama-sama.

No comments: